NOVEMBER 2023

Premier Sarawak Menghadiri CAFEO Ke-41, Terima Anugerah Fellow Kehormat


SELASA, 21 NOVEMBER 2023

DENPASAR (BALI): Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang selamat tiba di Bali bagi menghadiri Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (CAFEO) Ke-41.

Beliau bersama rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di sini pada jam 1.03 petang waktu tempatan.

Hadir sama mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Abang Ahmad Abang Morni serta pegawai-pegawai kerajaan lain.

Majlis perasmian CAFEO Ke-41 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Nusa Dua Bali pada Rabu ini.

Dalam majlis itu Datuk Patinggi Abang Zohari dijangka dianugerahkan dengan gelaran ‘Honorary Fellow’. 

Penghargaan khusus ini dikhaskan secara terpilih untuk individu terkemuka yang telah menunjukkan sumbangan luar biasa kepada profesion kejuruteraan, kemajuan institusi, dan usaha negara yang penting dengan menyandang gelaran “Dist. Hon. FAFEO” pasca nominal yang terkenal.

Persidangan selama tiga hari bermula dari 20 hingga 23 November itu akan menghimpunkan lebih 1,000 delegasi termasuk jurutera Indonesia, negara-negara ASEAN lain dan wakil-wakil  antarabangsa.

Di samping itu, CAFEO merupakan platform pertemuan jurutera, profesional dan pakar dari 10 negara ASEAN untuk bertukar pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang kejuruteraan.

Dengan penganjuran CAFEO Ke-41 ini, Indonesia menjadi negara ke-10 dalam Asia menjadi tuan rumah persidangan tersebut dengan tema “Igniting ASEAN’s Blue Economy and Green Energy” pada tahun ini.

Premier Sarawak juga dijadualkan menyertai Forum Menteri ASEAN yang berlangsung di Bali.

Sumber dari : Sarawakku